Culkin bersama tunangnya, Brenda Song dan anak mereka, Dakota. – REUTERS/Mario Anzuoni
Untuk berita terkini Sinar Harian, ikuti di Telegram dan TikTok kami
BINTANG Home Alone, Macaulay Culkin, menerima bintang di Hollywood Walk of Fame sebagai mengiktiraf impak lakonannya sepanjang lebih 30 tahun kerjaya.
Culkin yang ditemani tunangnya, pelakon Brenda Song serta dua anak lelaki mereka, berkata penghormatan itu lebih bermakna dengan kehadiran keluarga.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Brenda, awak adalah segala-galanya. Saya percaya awak lebih gembira daripada saya hari ini.
“Awak bukan sahaja insan terbaik yang pernah saya kenal, tetapi awak juga beri saya tujuan hidup, keluarga dan kasih sayang,” katanya dalam ucapan ringkas.
Dua anak pasangan itu, Dakota dan Carson, turut hadir pada majlis tersebut.
Culkin merupakan salah seorang pelakon kanak-kanak paling berjaya sepanjang zaman, namun bintang berusia 43 tahun itu pernah melalui fasa kejatuhan dalam dunia hiburan.
Culkin pernah terbabit dengan penyalahgunaan dadah dan ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah, namun mula meninggalkan tabiat buruknya selepas mengenali Song.
Pada majlis itu, dia juga bertemu semula dengan pelakon Catherine O’Hara, yang memainkan watak ibunya dalam Home Alone.